Friday, October 23, 2009

hanya aku mengerti

suatu masa..
kotak fikiran mula terbuka,
bebanan di pundak bertambah tidak dipinta
kos keperluan meningkat tidak terangankan
aku lelah, hampir goyah
tapi untuk pasrah, kalah, menyerah..
tidak sekali-kali aku izinkan

teringat aku suatu dalil
ketika aku kuliah di pondok
'Tuhan tidakkan mengubah nasib sesuatu kaum
selagi mana kaum itu tidak berusaha mengubah nasibnya'
dan ayat itu diulang-ulang
beratus kali tidak kukira
agar lekat di memori
agar tercabar diri

kini peluang datang hanya sekali
terbukalah mata hati
bukan mudah untuk aku percaya
namun rancangan Tuhan tak siapa bisa menduga
takkan kulepaskan genggamanku ini lagi
kerana aku yakin
ganjarannya pasti

namun tak semua kuidam senang jaraknya seinci,
sebab..
aku diperah keringat,
dituntut berkorban,
dikejar impian melangit
lelahku yang dulu hanya berkeluh-kesah, kosong..
kini lelah berbayar, penat berbonus
masaku yang dulu bersepah, terbuang
kini berisi usaha berkebajikan

doamu kupinta prihatinmu kuhargai
moga jalan kupilih tidak salah
walau kutahu kau tak rela
melepaskan aku seketika
ditinggal aku lama

bukan apa..
aku didesak tiada pilihan
aku diburu cita-cita, tak punya masa tambahan
untukku raih kejayaan
untukku sebar kebahagiaan
usah kau tanya kenapa
kerana kau tak akan mengerti,
tak mungkin memahami, tak sepenuhnya merasai
apa yang aku alami, apa yang terdimensi dalam mimpi
untuk kuterjemah menjadi realiti

:: cik sentul, 23 Oktober 2009 ::

No comments:

Post a Comment